12.31.2006

Selamat Hari Raya Aidil Adha & Selamat Kembali ke Kolej

Aidil Adha Simbol Pengorbanan.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan selamat Hari Raya Aidil Adha kepada seluruh warga K19 serta ibubapa. Aidil Adha merupakan simbol pengorbanan Agung Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail. Pengorbanan ini adalah manifestasi daripada ketaqwaan kepada Allah SWT.
Kita boleh ambil iktibar daripada pengorbanan Agung ini dan diadaptasikan dalam kehidupan kita terutamanya sebagai pelajar. Kehidupan sebagai pelajar merupakan satu kehidupan yang menuntut pengorbanan yang tinggi terutamanya jika ingin mencapai kejayaan yang cemerlang. Pengorbanan kita meninggalkan keluarga tercinta, pengorbanan kita dalam menempuh dugaan dan cabaran di Kolej serta pengorbanan kita mengekang mata mentelaah pelajaran. Hanya orang yang sanggup membuat pengorbanaan sahaja yang akan mencapai kejayaan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Bermula sahaja semester 2 pada 3 januari ini bermakna cabaran baru anda pun bermula. Semester 1 telah anda lalui dengan seibu satu dugaan dan anda telah berjaya harunginya dengan cemerlang. Saya harap di semester 2 ini anda tidak lalai dan leka dengan kejayaan lalu. Gandakan usaha agar kejayaan ini ditingkatkan atau sekurang-kurangnya di kekalkan.
Ambil iktibar dari semangat Aidil Adha ini agar anda lebih bersedia untuk melakukan pengorbanan yang lebih di semester 2 ini.

Selamat kembali ke Kolej.
Jangan lupa, kelas bermula 3 januari. Semua AJK serta sukarelawan harap berkumpul di Kolej jam 2 petang 2 januari.

10 zulhijjah 1427H
seremban.

12.12.2006

Tahniah K19!.

Tahniah kepada semua K19 atas kejayaan anda dalam peperiksaan Akhir T1S1.

Keputusan Peperiksaan Akhir anda amat memberangsangkan.
Analisis ringkas keputusan T1S1 K19:


Kumpulan k19 telah berjaya mencipta sejarah apabila salah seorang dari rakan anda mendapat keputusan PNGS 4.0. Cuma 2 orang yang mendapat PNGK dibawah 3.0.

Semuga kejayaan yang anda kecapi pada Semester 1 ini dapat sama-sama di kongsi dengan bersama ibu bapa anda.

Namun bagitu, perjuangan anda masih jauh. Bagi yang mendapat keputusan yang cemerlang, kekalkan kecemerlangan ini. Bagi yang tidak mendapat keputusan seperti yang diharapkan, tingkatkan usaha di semester akan datang.

Tahniah sekali lagi.

Jangan lupa lapor diri 2 jan 2006 (AJK).

12.09.2006

Selamat Bercuti k19 dan TAHNIAH kepada Tn Hj Moideen.

Kepada semua warga k19 saya mengucapkan selamat bercuti. Gunakan kesempatan ini untuk merehatkan minda serta bermesra dengan keluarga tercinta. Jauhi dari mat rempit. Ingat perjuangan anda masih jauh.

Saya memohon maaf kerana sudah lama tidak menulis di web ini. Sejak kebelakangan ini terlalu sibuk dengan pelbagai aktiviti dan program kolej. Sekarang pun sedang sibuk 'marking' kertas peperiksaan anda di KLIH Kuala Lumpur.

Bercakap tentang peperiksaan, saya yakin, InsyaAllah semua akan lulus. Sama-samalah kita tunggu resultnya nanti. Tarikh akan di berikan kemudian. InsyaAllah saya akan cuba masukkan result dalam web ini. Rajin-rajinlah membuka web ini.

Oh Ya, ramai yang ingin tahu tentang lapor diri Sem 2. Untuk makluman, lapor diri secara rasmi ialah pada 3 Jan 2007. Tapi Kumpulan k19 dipertanggungjawabkan untuk membantu program pendaftaran k 20. Kepada semua AJK kumpulan di WAJIBKAN hadir pada 2 Jan 2007. Kepada non AJK, di GALAKKAN hadir sama. Markah akan diberi atas penglibatan anda tersebut.

Jadi tolong sampaikan maklumat ini kepada semua warga k19.

Maklumat terkini Kolej, Tuan Pengetua, Tuan Hj Moideen Hasan telah secara rasmi meninggalkan Kolej. Beliau telah dilantik sebagai Pengarah Hospital , di Sarawak. Satu kebanggaan kepada semua warga Pembantu Perubatan di seluruh Malaysia. Jadi anda di masa akan datang berpeluang untuk menjadi Pengarah Hospital!.
TAHNIAH kepada Tuan Hj Moideen yang kita kasihi.
Selamat bercuti dan selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha.


Kuala Lumpur International Hotel
Kuala Lumpur

9.20.2006

Selamat Berpuasa

Selamat Menyambut Bulan Ramdhan 1427 H

"Sungguh telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan. Allah telah memfardlukan atas kamu puasanya. Di dalam bulan Ramadhan dibuka segala pintu surga dan dikunci segala pintu neraka dan dibelenggu seluruh setan. Padanya ada suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Barangsiapa tidak diberikan kepadanya kebaikan malam itu maka sesungguhnya dia telah dijauhkan dari kebajikan" (Hr. Ahmad)

Bulan Ramadan menjelma lagi. Bersyukur kepada Allah SWT kerana diberi kesempatan kepada kita menemui bulan Ramdhan pada tahun ini. Muga-muga bulan Ramadan pada tahun ini dapat meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT. Rebutlah peluang beribadah sebanyak mungkin di atas kelebihan Ramadhan yang dikurniakan.
Tapi jangan lupa untuk belajar. Peperiksaan akhir semakin hampir. Gunakan masa selepas bersahur untuk mengulangkaji pelajaran. Ingat, hanya dengan usaha, berdoa dan bertawakal sahaja kejayaan akan menjadi milik kita.

Selamat Berpuasa.

Kota Kinabalu
28 Syaaban 1427 H.

9.07.2006

Cuti Pertengahan Semester.

Selamat Bercuti.

Selamat bercuti pertengahan Semester kepada semua warga k19. Maaf le kerana lewat untuk mengucapkan selamat bercuti kepada anda semua. Kebelakangan ini agak sibuk sehingga tak sempat untuk buka komputer ini. Tambahan pula komputer ini dah tua. agak 'slow' semasa melayari intenet. Anyway, diharap anda gembira bertemu dengan ibubapa, saudara, ayam itik dan bla.bla....


Jangan lupa balik semula pada masa dan tarikh yang ditetapkan. Perjuangan harus diteruskan.
Masalah elaun?.. Jangan risau, 8 atau 9 haribulan ni InsyaAllah akan keluarle. Pihak pentadbiran memohon banyak-banyak maaf. Kelewatan ini diluar bidangkuasa pihak Kolej. Pihak Kolej telah melakukan berbagai cara agar elaun anda dibayar secepat mungkin. Namun kecangihan teknologi, kadang-kadang tidak secekap yang dijangkakan.

Terimakasih atas kesabaran anda.
Pastikan Kumpulan 19 merupakan kumpulan terbilang!!!!!

Salam buat ibubapa anda.

7.28.2006

Peperiksaan Formatif Minggu ke 4 Bermula...


Masa bergerak bagitu pantas. Antara sedar atau tidak, anda telah menjadi Warga Kolej hampir sebulan. Dalam suasana yang masih lagi terkenangkan kampung halaman termasuk ayam, itik, kambing, lembu, sawah, bendang dan entah apa-apa lagi, ujian pun bermula. Ujian pertama yang anda akan hadapi ialah Peperiksaan Formatif yang bermula pada 31 Julai ini.

Apa itu ujian Formatif?. Sebagai makluman, Peperiksaan Formatif merupakan ujian yang dijalan secara berkala dan di laksanakan sepanjang semester. Peperiksaan ini dilaksanakan untuk menilai tahap kefahaman dan pengetahuan pelajar terhadap topik-topik yang di ajar pada minggu-minggu tertentu. Peperiksaan ini membawa markah sebanyak 30% untuk satu-satu subjek kepada peperiksaan Akhir. Ini bermakna Peperiksaan Akhir Semester cuma membawa markah 70% sahaja. Jadi jangan ambil mudah kepada Peperiksaan ini. Pastikan anda mendapat sekurang-kurangnya 25% dalam Peperiksaan ini. Ini bermakna anda hanya perlu mendapatkan markah 55% sahaja dalam peperiksaan Akhir Semester untuk membolehkan anda mendapat A dalam subjek tersebut.

Strategi untuk mendapatkan markah yang tinggi dalam Peperiksaan ini.. Sangat mudah. Buat ulangkaji tehadap subjek-subjek yang telah anda belajar sebelum ujian di jalankan. Subjeknya bukan banyak sangatkan. Cuma bebarapa subjek sahaja yang diajar dalam tempoh sebulan ini.

Saya percaya anda boleh lakukan.

Jangan lupa talipon ibubapa untuk mendapatkan restu serta doa. Ingat doa ibubapa sangat penting untuk kejayaan anda.
Kepada ibubapa, doakan kejayaan anak kesayangan anda ok.

Selamat Menjawab!!!

Jadual peperiksaan Formatif 1 Minggu 4 Semester I

MAGA 1113 (ANATOMI GROSS) - 31.7.06 (Isnin) - 8.00 - 8.25 pg
MAGP 1113 (FISIOLOGI AM) - 31.7.06 (Isnin) - 9.00 - 9.25 pg
MACH 1114 (KES. KOMUNITI) - 1.8.06 (Selasa) - 9.00 - 9.25 pg

Download Jadual Ujian Formatif Semester 1

7.09.2006

MINGGU HALUAN PELAJAR K19 DAN KARNIVAL SUKAN


Tahniah kepada Pelatih-pelatih Kumpulan 19 kerana telah berjaya mengharungi Minggu Haluan Pelajar bermula dari 1 Julai sehingga 7 Julai 2006.

Fasa pertama MHP bermula 1 Julai 2006 hingga 3 Julai 2006 di Batu Hampar Resort, Kuala Kangsar. Pelbagai aktiviti Pembinaan Masyarakat Pembelajaran di jalankan oleh Fasilatator-falitator terlatih yang di Ketuai oleh En. Elengovan(Tim. Pengetua Akademik), En. Yong Kok Keng( Tim. Pengetua HEP) dan dibantu oleh Tn Hj Zafri Yusof, En. Alias Mahmud(Ketua Penyelaras k19), En. Mispan Mangon(Pengajar Penyelaras), En. Ahmad Ramli(Pengajar Penyelaras), En. Khairuddin Fahmi, En. Abd Hamid, En.Shahezam, En. Noorazli, En. Ramesh dan En. Bellanage Gunadass.


Objektif utama program MHP ini ialah untuk mendedahkan pelatih baru kepada Budaya Pembelajaran di Kolej selain menanamkan sifat bekerjasama (team work), berdisplin, kreatif dan berinovasi serta penyanyang.

Fasa kedua MHP disambung di Kolej bermula 3 Julai sehingga 7 Julai 2006. Pelatih-pelatih didedahkan dengan suasana pembelajaran, maklumat Kursus serta ceramah Motivasi. Pelatih-pelatih Kumpulan 19 ini juga terlibat dengan karnival sukan Kolej dengan menyertai pelbagai acara seperti Futsal, Bolasepak, Sepak Takraw, Bola Tampar serta Olahraga.


Kumpulan 19 telah menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dalan karnival sukan ini walaupun gagal menjadi pasukan tebaik. Namun dalam masa yang singkat, Kumpulan 19 telah mempamirkan semangat berpasukan yang tinggi. Ini adalah hasil dari program MHP yang sedang mereka lalui.

Pada malam 6 Julai 2006, satu ceramah Perdana di adakan yang di sampaikan oleh Mufti Negeri Perak, Sahibus Samahah Dato' Seri Dr. Hj. Harussani Hj. Zakaria di Surau Kolej. Semua Pelati Muslim k19 hadir untuk mendengar amanat dari Dato' Mufti.

Manakala pada 7 Julai 2006, Satu Forum di adakan sebelum Majlis Penutupan MHP yang disempurnakan oleh Pengetua Kolej, Tuan Hj Moideen Hasan.



Pengajar Penyelaras k19:
1. En. Alias bin Mahmud - Ketua
2. En. Ahmad b Ramli
3. En. Mispan Mangon.

Syabas Kumpulan 19!!.
Kumpulan 19 pasti Gempaq!!!.

SERAMAI 120 PELATIH K19 MELAPOR DIRI

Selamat Datang Pelatih Kumpulan 19!

Pada 1 Julai 2006, seramai 120 pelatih baru kumpulan 19 telah melapor diri di Kolej Pembantu Perubatan Ulu Kinta. Sejak seawal pukul 7.00 pagi lagi, perkarangan Kolej telah sesak dipenuhi oleh pelatih serta ibu bapa dan sanak saudara yang datang mengiringi pelatih tersebut. Pelatih-pelatih baru ini datang dari seluruh pelusuk negara.

Pendaftaran pelatih telah berjalan dengan lancar. Pada pukul 10.30 pagi, satu taklimat kepada ibubapa telah diberikan oleh Pengetua Kolej, Tuan Hj Moideen Hasan. Beliau telah menerangkan panjang lebar berkaitan dengan proses Pembelajaran di Kolej serta perkara-perkara yang harus di ambil perhatian oleh Ibubapa bagi memastikan anak-anak mereka dapat belajar dengan baik dan mendapat keputusan yang cemerlang.

Bagi memeriahkan hari pendaftaran, terdapat beberapa gerai seperti Gerai SMART CLUB yang menjual pelbagai jenis cenderamata serta pakaian sukan, gerai pemeriksaan kesihatan percuma, gerai pameran serta gerai menjual makanan.

Pelatih-pelatih yang telah melapor diri diberi taklimat oleh Timbalan Pengetua HEP, En Yong Kok Keng berkaitan dengan program Minggu Haluan Pelajar.

Pada pukul 3.00 petang, pelajar-pelajar telah dibawa ke Kem Batu Hampar, Kuala Kangsar untuk menjalani program Membina Masyarakat Pembelajaran selama 3 hari.

6.04.2006

KOLEJ PEMBANTU PERUBATAN ULU KINTA


LATARBELAKANG

Kolej Pembantu Perubatan Ulu Kinta, Perak merupakan Institusi Latihan Pembantu Perubatan yang kedua diwujudkan di Malaysia. Kolej Pembantu Perubatan yang lain ialah di Seremban, Negeri Sembilan, di Kucing, Sarawak dan Alor Setar, Kedah.

Pada asalnya Kolej ini telah digunakan bagi latihan Penolong Jururawat dan Pembantu Hospital Rendah serta kursus-kursus pendek yang berkaitan dengan psikiatrik sehinggalah pada tahun 1991, perancangan telah dibuat bagi menaiktarafkan latihan Diploma Pembantu Perubatan.

Kolej ini secara rasminya beroperasi pada 1 Januari 1992 dengan kehadiran peserta perintis Pembantu Perubatan serami 50 orang. Bagi memenuhi kurikulum latihan Diploma Pembantu Perubatan ini, pelbagai usaha bagi mempertingkatkan prasarana telah buat secara berperingkat-peringkat. Malah kurikulum juga telah berlaku perubahan kepada sistem kredit. Di samping mengadakan latihan Diploma Pembantu Perubatan, Kolej ini juga telah berkembang dengan mengadakan kursus-kursus lanjutan Pos Basik serta kursus peningkatan profesion secara jangka pendek untuk Sains Kesihatan Bersekutu.


PENCAPAIAN

Antara pencapaian dan anugerah yang dimenangi oleh Kolej ini ialah:

1. Pengiktirafan Pengurusan Sistem ISO 9002 pada tahun 2002
2. Anugerah Hari Kualiti KKM Peringkat Kebangsaan tahun 2003. Memenangi
Anugerah Kolej Pengurusan Terbaik di kalangan Kolej-Kolej Kementerian Kesihatan di seluruh Malaysia.
3. Memenangi Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam Negeri Perak kategori IT tahun 2004
4. Tempat ke 2 Pertandingan Inovasi JKN Perak 2004
5. Tempat ke 2 Pertandingan KMK JKN Perak 2005



VISI
Mengeluarkan Pembantu Perubatan yang komited kepada perkhidmatan pesakit yang menyeluruh berorientasikan aspirasi masyarakat, bersesuaian dengan objektif Kementerian Kesihatan Malaysia, untuk membantu dalam mencapai dan mengekalkan taraf kesihatan individu itu sendiri bagi membolehkannya hidup dalam suasana ekonomi dan sosial yang produktif. melahirkan Pembantu Perubatan yang komited dan berketerampilan klinikal asas yang tinggi serta menjadikan pembelajaran (medical education) satu amalan yang berterusan. dan menjadikan kolej sebagai pusat pendidikan pengajian sains kesihatan bersekutu.

MISI
Memimpin pelatih-pelatih ke arah pencapaian kecemerlangan dalam latihan demi untuk kemajuan dunia dan akhirat. Usaha yang berterusan ke arah memupuk kualiti yang menekankan kepada kecemerlangan akademik, profesionalisma dalam pengamalan dan sentiasa mengembangkan diri individu ke arah pendidikan yang berterusan, agar dapat melahirkan individu yang menyeluruh, mulia, komited terhadap aspirasi
masyarakat, negara dan universal

MOTO

’ALWAYS GO FOR THE BEST’

SLOGAN

MENGGILAP DAN MENJANA INSAN YANG CEMERLANG

Unit Kompetensi KPPUK


Unit Kompetensi merupakan salah satu unit yang diujudkan di Kolej Pembantu Perubatan Ulu Kinta. Unit ini bertanggungjawab merancang serta melaksanakan program serta aktiviti peningkatan kemahiran serta pengetahuan pelatih-pelatih pembantu perubatan. Unit ini mendokong visi serta misi Kolej untuk melahirkan pembantu perubatan yang berpengetahuan, kompeten dan selamat.

Unit ini dianggotai oleh 3 orang Pengajar iaitu:
1. En. Alias bin Mahmud - Ketua Unit
2. En. Ahmad bin Ramli
3. En. Mispan bin Mangon

Unit ini juga bertanggungjawab ke atas pengurusan Makmal Ketrampilan termasuk aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran, Inventori serta Kebersihan dan Keceriaan. Pengurusan Makmal Ketrampilan ini di bantu oleh seorang PAR iaitu En. Salleh b Bokhari.