12.01.2008

Tazkirah: Ibadah Korban

1. Pengertian Qurban

Qurban ialah penyembelihan haiwan tertentu pada tanggal 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah dengan maksud untuk mendekatkan diri kepada Allah. Perintah berkorban telah disyariatkan oleh Allah kepada kita pada tahun ke 2 hijrah bersamaan dengan perintah solat Eidul Adha dan zakat. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

"Dan telah Kami jadikan unta-unta itu sebahagian daripada syi'ar Allah, kamu memperolehi kebaikan yang banyak daripadanya, maka sebutlah nama Allah ketika kamu menyembelihnya dalam keadaan berdiri (dan telah diikat). Kemudian apabila telah roboh (mati), maka makanlah sebahagiannya dan beri makanlah orang yang rela dengan apa yang ada padanya (yang tidak meminta-minta) dan orang yang meminta. Demikianlah Kami telah menundukkan unta-unta itu kepada kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur." - Surah al-Haj:36

"Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berqurbanlah." - Surah al-Kauthar:2

Daripada Aisyah r.a Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:

"Tiada suatu amalan yang dilakukan oleh manusia pada Hari Raya Qurban, yang lebih dicintai Allah selain daripada menyembelih haiwan qurban. Sesungguhnya haiwan qurban itu pada hari kiamat kelak akan datang berserta dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya, dan sesungguhnya sebelum darah qurban itu menyentuh tanah, ia (pahalanya) telah diterima disisi Allah, maka beruntunglah kamu semua dengan (pahala) qurban itu." - Riwayat al-Tarmuzi, Ibnu Majah dan al-Hakim

Zaid bin Arqam berkata: "Mereka telah bertanya, Wahai Rasullullah, apakah Udhhiyah (Qurban) itu? Nabi Muhammad s.a.w. menjawab: "Ia sunnah bagi bapa kamu Nabi Ibrahim." Mereka bertanya lagi: Apakah ia untuk kita? Rasulullah s.a.w. menjawab: "Dengan tiap-tiap helai bulu satu kebaikan." Mereka bertanya: "maka bulu yang halus pula? Rasullullah s.a.w bersabda yang bermaksud "Dengan tiap-tiap helai bulu yang halus itu satu kebaikan." - Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah

2. Hukum Berqurban

Hukumnya Sunnat Muakkad (Sunnat yang dikuatkan) atas orang yang memenuhi syarat-syarat seperti berikut:

i. Islam
ii. Merdeka (Bukan hamba)
iii. Baligh lagi berakal
iv. Mampu untuk berqurban

Sabda Rasullullah s.a.w yang bermaksud: "Aku disuruh berqurban dan ia sunnat bagi kau." (Riwayat al-Turmuzi).
"Telah diwajibkan kepada ku qurban dan tidak wajib bagi kamu." (Riwayat Daruqutni)
Walaupun hukum berqurban itu sunnat tetapi ia boleh bertukar menjadi wajib jika dinazarkan. Sabda Rasullullah s.a.w yang bermaksud:

"Sesiapa yang bernazar untuk melakukan taat kepada Allah, maka hendaklah dia melakukannya." (Sila Rujuk: Fiqh al-Sunnah)


3. Kesabaran demi ketaatan

Mengimbas kembali dari pengorbanan Nabi Ibrahim. Seabad kehidupan Ibrahim penuh dengan perjuangan, gerakan, jihad dan perang melawan kebodohan kaumnya, kemusyrikan, penindasan Namrudz dan kefanatikan manusia-manusia penyembah berhala. Ibrahim bersama isterinya Sarah -Wanita cantik tapi tidak memberinya anak- tinggal di rumah Azar, bapaknya yang juga salah seorang penyembah dan pembuat berhala, fanatik.

Ibrahim makin tua dan kesepian. Walaupun berada di puncak kenabiannya, namun ia adalah seorang manusia biasa. Seperti manusia lainnya, ia menginginkan seorang anak. Apalagi usianya kian senja. Ia tidak berpengharapan, kerana menurut pertimbangan akal sederhana pun perkara itu tak mungkin. Ibrahim hanya dapat mendambakan dalam do’anya:

"Ya Rabb, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang soleh. " (Ash-Shaffat : 100).

Allah SWT akhirnya melimpahkan kurniaNya kepada lelaki tua yang telah menghabiskan seluruh hidup dan kehidupannya, serta menanggung penderitaan demi menyebarluaskan risalahNya. Melalui wanita bernama Hajar, Allah SWT memberinya seorang anak; Ismail. Sebagaimana firmanNya:

"Maka Kami beri dia khabar gembira dengan seorang anak yang amat sabar. "
(Ash-Shaffat: 101)

Ismail adalah anak yang didambakan Ibrahim seumur hidupnya. Kelahirannya telah didambakan selama hampir seratus tahun dan diluar perkiraan ayahnya. Ismail tumbuh bagaikan batang pohon yang mekar. Ia mendatangkan keceriahan dan kebahagiaan ke dalam hidup Ibrahim. Ia adalah harapan, kecintaan dan buah hati Ibrahim. Akan tetapi, tanpa diduga-duga wahyu Allah SWT turun memerintahkan untuk menyembelih Ismail. Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, lbrahim berkata :

"Hai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu" (Ash-Shaffat: 102)

Betapa goncangnya jiwa Ibrahim ketika menerima wahyu yang luar biasa beratnya ini. Duka nian hatinya. Tetapi wahyu itu adalah perintah Allah : perintah menyembelih Ismail —buah hatinya. Konflik pun terjadi dalam batinnya. Siapakah yang lebih disayanginya Allah ataukah anaknya? Mengikuti perintah Allah atau menuruti perasaan manusiawinya untuk menyayangi anaknya?

Ibrahim menghadapi dua pilihan : mengikuti perasaan hatinya dengan menyelamatkan Ismail atau mentaati perintah Allah SWT dengan ‘mengorbankannya’. la harus memilih satu di antara dua. Seandainya yang diperintahkan Allah adalah agar ia mengorbankan dirinya sendiri, maka tidaklah sulit baginya menentukan pilihan. Walaupun demikian, dengan keteguhan hati Ibrahim lebih mendahulukan perintah Allah SWT dan mengorbankan rasa sayang pada anaknya.

Kilasan kisah Nabi Ibrahim tadi memberikan suri tauladan bahawa saat perintah dan hukum Allah SWT datang di mana pun dan bila, apapun harus dikorbankan. Perintah Allah di atas segala-galanya. Sebab mentaati perintah dan aturan Allah jauh lebih maslahat dibandingkan dengan menuruti perasaan dan hawa nafsu.

Selamat Menyambut Hari Raya Edul Adha
abu aiman

Di petik dari:

http://www.qurban2u.com/korban.php

http://members.tripod.com/ISLAMIKA/aj/pengorbanan.htm

2 comments:

  1. Bagaimana untuk mengagihkan daging korban dengan cara terbaik?. Realitinya sekarang, setiap kali raya korban, peti ais di rumah penuh dengan daging korban. Penyumbang daging korban banyak bagi satu2 kariah tetapi penerima yang sama sahaja. Bayangkan satu2 masjid ditaman perumahan telah menyembelih 3-4 ekor lembau/kerbau untuk korban sedangkan kariah ditemapat tersebut hanya dalam sekitar beberapa ratus keluarga sahaja.

    Sudah sampai masanya kaedah agihan daging korban perlu di'inovasi'kan sesuai dengan situasi semasa agar ia benar-benar diagihkan kepada mereka yang benar2 memrlukannya.

    ReplyDelete
  2. Amacam kalau persatuan menganjurkan program korban khas untuk semua warga PPP seluruh negara. Buat collection bulanan. Korban tersebut boleh disalurkan kepada penerima dinegara2 yang memerlukan seperti kemboja, euthopia ke atau lain2 negara yang amat meemrlukannya. Boleh mengadakan program kolaberasi dengan PUM, atau badan2 Islam seperti ABIM, JIM dan lain2. Tentu dapat sambutan selain dari mendapat pahala dan sekaligus mempromosi PPP tu sendiri.

    Apamacam Pak presiden?

    wak...

    ReplyDelete