9.02.2009

RAHSIA PUASA

Salam Ramadhan Al-Mubarak

Allah Ta’ala telah mengurniakan kenikmatan yang amat besar kepada seluruh hambaNya iaitu dengan memberikan suatu amalan yang dapat digunakan sebagai benteng untuk menolak tipu daya syaitan. Amalan yang dimaksudkan itu ialah ibadat Puasa.

Orang yang berpuasa juga di beri janji oleh Allah SWT bahawa ia akan diberi dua kegembiraan sebagai balasan ibadat puasanya seperti Hadis RasuluLllah SAW yang bermaksud:

“ Orang yang berpuasa itu mempunyai dua macam kegembiraan iaitu ketika berbuka berpuasa dan ketika bertemu dengan Tuhannya”

Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim

RAHSIA PUASA DAN SYARAT BATHINIAH

1. Menahan dari pandangan yang tercela dan dibenci syarak yang boleh menyebabkan kelalaian hati dari mengingati Allah SWT.

2. Menjaga lidah dari senda gurau yang tidak berguna, berdusta, mengumpat, mengadu-domba, perkataan kotor, caci-maki, permusuhan dan menunjuk-nunjuk.

3. Menahan pendengaran dari mendengar segala sesuatu yang dibenci, sebab segala sesuatu yang haram diucapkan, maka haram pula didengari.

4. Menahan anggota tubuh yang lain dari segala perbuatan dosa, baik dari tangan, kaki dan segala yang dibenci.

Demikian pula menahan perut dari hal-hal yang syubahat (tidak jelas haram atau halannya) diwaktu berbuka. Tidak ada gunanya seseorang itu berpuasa iaitu menahan dari memasukkan makanan yang halal tetapi sewaktu berbuka ia memasukkan makanan yang haram atau yang diperolehi dari jalan yang haram.

Perumpamaan orang yang berpuasa semacam ini adalah sama seperti orang yang membangunkan sebuah istana atau gedung yang indah dan besar, tetapi ia juga menghancurkan istana atau gedung itu.

Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Banyak sekali orang yang berpuasa itu, tetapi tidak ada yang diperolehnya dari puasanya itu kecuali hanya lapar dan haus saja"

Hadis Riwayat Nasa-I dan Ibnu Majah

Ada Ulama yang berpendapat bahawa orang yang bernasib sedemikian ini ialah orang yang berbuka dengan makanan yang haram. Ada yang mengatakan bahawa orang itu ialah menahan dari memakan yang halal, tetapi berbuka dengan memakan daging manusia iaitu mengumpat orang lain.

Tetapi ada pula yang mengatakan maksudnya itu ialah orang yang tidak menjaga anggota-anggota tubuhnya dari melakukan perbuatan-perbuatan berdosa. Tidak berlebih-lebihan memakan makanan sewaktu berbuka puasa sekalipun makanan itu halal.

Sesungguhnya Allah SWT amat benci orang-orang makan sehingga perutnya padat berisi makanan. Untuk memperlemahkan semangat syaitan, hendaklah memakan tidak berlebihan, hanya sekadar yang diperlukan. Hendaklah setelah berbuka itu, hatinya masih mempunyai perasaan takut kepada Allah SWT serta dengan penuh harapan agar amalan puasa yang dilaksanakan itu diterima oleh Allah SWT.

Moga2 puasa kita tahun lebih baik dari tahun2 lepas.

Rujukan: Kitab Bimbingan Mukmin ( Imam Al-Ghazali)

No comments:

Post a Comment