SERANTA AWAM ATAS TALIAN BAGI CADANGAN PENGGUBALAN RANG
UNDANG-UNDANG PENOLONG PENGAMAL PERUBATAN
UNDANG-UNDANG PENOLONG PENGAMAL PERUBATAN
YBhg. Tan Sri/Puan Sri/Dato’/Datin/Tuan/Puan,
Selamat Sejahtera dan Salam 1 Malaysia,
Sukacita dimaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia sedang menggubal Rang Undang-Undang Penolong Pengamal Perubatan yang baru bagi mengawal selia amalan penolong pengamal perubatan. Ini berikutan Akta Pembantu Perubatan (Pendaftaran) 1977, [Akta 180] yang telah berkuatkuasa hampir 35 tahun didapati tidak lagi menepati keperluan semasa.
Skop Akta 180, adalah terhad kepada penubuhan Lembaga Pembantu Perubatan (Pendaftaran), pendaftaran dan pembaharuan pendaftaran penolong pegawai perubatan sahaja. Tidak terdapat peruntukan mengenai:
(a) Komposisi, fungsi dan kuasa Lembaga yang tidak disenaraikan dengan terperinci;
(b) Penubuhan jawatankuasa tertentu bagi membantu Lembaga melaksanakan fungsi dan kuasanya;
(c) Penubuhan jawatankuasa khusus untuk memastikan taraf latihan penolong pegawai perubatan sentiasa berada ditahap yang tinggi;
(d) Pendaftaran penolong pegawai perubatan yang mempunyai latihan lanjutan dalam bidang pengkhususan;
(e) Bidangkuasa tatatertib; dan
(f) Penguatkuasaan
Justeru itu, Akta 180 perlu dibuat penambahbaikan bagi memperkukuhkan undang-undang sedia ada selaras dengan perkembangan dan keperluan semasa. Penambahbaikan ini adalah penting bagi memastikan amalan yang diberikan oleh penolong pengamal perubatan adalah berkualiti dan kompeten demi memelihara keselamatan orang awam.
Satu borang tinjauan akan disiarkan secara atas talian di laman web Kementerian Kesihatan Malaysia diwww.moh.gov.my selama 14 hari bermula bermula pada 29 Oktober 2012 sehingga 11 November 2012. Sehubungan itu Kementerian Kesihatan mengalu-alukan sebarang cadangan dan komen yang boleh disalurkan melalui ppp.bap@moh.gov.my sebelum/pada 11 November 2012.
Kerjasama dalam memberikan pendapat mengenai perkara di atas adalah amat dihargai.
Sekian, terima kasih.
PENGARAH
BAHAGIAN AMALAN PERUBATAN
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
Maklumat lanjut sila akses di:
http://eservices.moh.gov.my/mohsurvey/index.php?sid=68828&lang=en