5.03.2008

Temuduga Separa Perubatan - Susahnya Cari Calon Lelaki

Salam Sejahtera.

Sepanjang minggu ini saya berada di Kuantan kerana menjalankan tugas sebagai pengerusi Temuduga bagi memilih calon separa perubatan KKM.

Proses temuduga kali ini mempunyai 2 fasa iaitu fasa ujian bertulis dan fasa temuduga bersemuka. Calon-calon perlu lulus ujian bertulis serta mendapat markah tertinggi dalam temuduga bersemuka bagi melayakkan untuk mengikuti kursus-kursus separa perubatan (10 kursus) yang ditawarkan oleh KKM.

Calon-calon telah memohon secara online melalui web JPA. Permohonan untuk kursus-kursus separa perubatan ini telah mendapat sambutan yang bagitu hebat di mana sebanyak 209,477 permohoan yang telah diterima. Bilangan yang layak adalah sebanyak 190, 417 orang. Bagi kursus Pembantu Perubatan sahaja sebanyak 58,188 permohonan telah diterima di mana permohonan dari calon wanita( 31,324) telah melebihi dari calon lelaki(26,864). Nampaknya sedikit masa lagi PPP akan dimonopoli ole kaum Hawa!!.

Apa yang saya ingin kongsi serta sedikit analisa berkaitan dengan temuduga tersebut ialah berkaitan dengan kualiti calon lelaki serta persediaan menghadapi temuduga.

Secara keseluruhannya, kelayakan akademik calon yang akan mengikuti kursus-kursus separa perubatan ini meningkat bagitu ketara. Calon-calon yang telah dipanggil menghadiri temuduga ini rata-rata mempunyai kelayakan akademik yang bagitu baik yang setara dengan kelayakan akademik bagi memasuki IPTA/IPTS lain.

Bagi calon-calon wanita, saya tidak menghadapi masalah memilih calon yang sesuai. Kebanyakkannya telah membuat persediaan serta boleh berkomunikasi dengan baik. Namun bagitu, saya menghadapi masalah dalam memilih calon lelaki. Peratusan yang hadir temuduga sangat menyedihkan iaitu tidak sampai 30 peratus dari keseluruhan dari calon yang hadir bagi setiap sesi temuduga. Nampaknya sindrom kesukaran memilih calon lelaki bagi mengikuti kursus perguruan di Kementerian Pendidikan telah menjangkiti KKM.

Selain itu, yang lebih mendukacitakan saya ialah persediaan calon lelaki itu sendiri. Kebanyakkanya tidak bersedia secara fizikal dan mental bagi menghadapi sesi temuduga. Pakaian yang dipakai tidak sesuai seperti berseluar jeans, berkasut sukan, tidak memakai tali leher, memakai baju lengan panjang tetapi lengan dilipat, berselekeh serta ada yang berseluar londeh seperti penyanyi rap. Selain dari pengetahuan berkaitan dengan kursus yang pohon adalah amat mendukacitakan, pengetahuan am juga amat sedikit.

Justeru saya rasa, adalah tanggungjawab kita semua supaya mewar-warkan kepada generasi muda tidak kira anak sendiri, anak saudara mara atau rakan-rakan agar membuat persediaan rapi semasa menghadiri sesi temuduga tidak kira apa jenis temuduga termasuk temuduga kenaikan pangkat..

Berikut adalah beberapa tips umum yang boleh dikongsi bersama iaitu:
1. Pakaian: Kemas dan bertali leher, kasut kulit, seluar slack.
2. Komunikasi yang baik.
3. Pengetahuan berkaitan dengan kursus atau permohonan. Buat rujukan. Minta maaf jika tidak tahu.
4. Pengetahuan am. Baca isu-isu semasa. Beri komen dengan bahasa yang sesuai.
5. Menjawab dengan keyakinan.

Kelayakkan akademik yang baik masih tidak mencukupi jika attitude serta sikap tidak seperti yang diharapkan untuk anda berjaya dalam setiap temuduga.

sekian, jumpa lagi.

abu aiman