7.17.2008

Salam dari London

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Maaf sebab dah lama tidak memberikan maklumat terkini dalam blog ini. Banyak perkara yang perlu dilakukan sejak beberapa minggu yang lalu.

Sejak 28 Jun lepas saya telah berlepas ke London kerana mengikuti program attachment di London South Bank Universiti. Program tersebut dijalankan selama 3 minggu dan saya beserta 3 orang pegawai dari KKM diamanahkan untuk melihat aspek Managing and Quality in Training.

Kami telah menghadiri beberapa sesi Mesyuarat bersama dengan pegawai dan ketua2 Unit di Fakulti Health and Sosial Care. Di samping itu kami juga telah dibawa melawat Poliklinik serta Hospital disekitar london.

Seperti yang telah kita ketahui, tiada jawatan yang setaraf AMO di UK. Jawatan Medical Assistant di sini mempunyai peranan seperti Pembantu Perawatan Kesihatan (Attenden).

Seperkara yang menarik di sini ialah terdapat satu pasukan yang
dipanggil Night Team dimana ia diketua oleh Nurse. Peranan
yang dilakukan sama seperti AMO di malaysia semasa ketiadaan
MO dimana mereka boleh rawat pesakit serta preskripe ubat. Kes2 yang teruk sahaja akan dirujuk kepada MO.

Ketua pasukan ini dipanggil clinical specialist Nurse yang kelayakan akademik adalah mempunyai Master. Saya rasa perkara telah dilakukan oleh AMO di malaysia tetapi kalau la dibuat secara sistematik seperti di UK, mungkin peranan AMO akan diiktiraf. Justeru, cadangan untuk mewujudkan AMO specialist memang tepat pada masanya.

Kalau boleh, lembaga atau Persatuan/Kesatuan dapat menghantar beberapa orang AMO untuk melihat lebih dekat sistem dan peranan Nurse specialist ini. Mungkin lawatan ke beberapa negara lain dapat membantu membuat perancangan yang lebih baik terhadap masa depan AMO.

Saya rasa cukuplah sekadar ini sahaja.


sekian.



abu aiman
LSBU, Southwark
London

6.17.2008

Hala Tuju PPP

Salam Sejahtera.

Hujung minggu lepas saya berkesempatan bersama-sama rakan-rakan serta pejuang-pejuang PPP berkampung di ILHAM Resort PD bagi membincangkan Hala Tuju PPP di masa akan datang.

Menurut mantan Ketua PPP Tn Hj Hassan, ini merupakan satu sejarah dimana lima bahagian, iaitu Lembaga PP, Persatuan, Kesatuan, Kolej dan Bah Pengurusan Latihan terlibat sama dalam perbincangan tersebut. Di samping itu, perbincangan juga di hadiri oleh 'orang lama' PPP yang bagitu konsisten dalam perjuangan memertabatkan kerjaya PPP iaitu Tuan Hj Mustafa.

Sepanjang 3 hari mesyuarat dan bengkel, beberapa cadangan dan resolusi dihasilkan untuk diambil tindakan oleh Lembaga PP, Kesatuan dan Persatuan PPP. Antaranya ialah:
  • Mewujudkan PPP Specialized di Hospital dan Kesihatan Awam dari aspek Klinikal, Teknikal/Diagnostik/Terapeutik dan pengurusan
  • Mewujudkan Garis Panduan serta Tanggungjawab yang jelas di Kesihatan Awam bagi membezakan peranan PPP dalam perkhidmatan Integrasi di Klinik Kesihatan.
  • Menjalankan kempen kesedaran yang agresif kepada semua PPP berhubung dengan konsep 'Review Approach' di Kesihatan Awam.
  • Memperkasakan latihan Basik PPP melalui Penjenamaan semua Diploma Pembantu Perubatan
  • Menyediakan kertas cadangan bagi membenarkan PPP membuat lokum
  • Lain-lain

Melalui beberapa sesi sumbang-saran, perbincangan, perbahasan serta kolaberasi idea diharapkan ia akan menjadi satu titik permulaan ke arah perkembangan kerjaya PPP yang lebih gemilang dimasa akan datang.

5.03.2008

Temuduga Separa Perubatan - Susahnya Cari Calon Lelaki

Salam Sejahtera.

Sepanjang minggu ini saya berada di Kuantan kerana menjalankan tugas sebagai pengerusi Temuduga bagi memilih calon separa perubatan KKM.

Proses temuduga kali ini mempunyai 2 fasa iaitu fasa ujian bertulis dan fasa temuduga bersemuka. Calon-calon perlu lulus ujian bertulis serta mendapat markah tertinggi dalam temuduga bersemuka bagi melayakkan untuk mengikuti kursus-kursus separa perubatan (10 kursus) yang ditawarkan oleh KKM.

Calon-calon telah memohon secara online melalui web JPA. Permohonan untuk kursus-kursus separa perubatan ini telah mendapat sambutan yang bagitu hebat di mana sebanyak 209,477 permohoan yang telah diterima. Bilangan yang layak adalah sebanyak 190, 417 orang. Bagi kursus Pembantu Perubatan sahaja sebanyak 58,188 permohonan telah diterima di mana permohonan dari calon wanita( 31,324) telah melebihi dari calon lelaki(26,864). Nampaknya sedikit masa lagi PPP akan dimonopoli ole kaum Hawa!!.

Apa yang saya ingin kongsi serta sedikit analisa berkaitan dengan temuduga tersebut ialah berkaitan dengan kualiti calon lelaki serta persediaan menghadapi temuduga.

Secara keseluruhannya, kelayakan akademik calon yang akan mengikuti kursus-kursus separa perubatan ini meningkat bagitu ketara. Calon-calon yang telah dipanggil menghadiri temuduga ini rata-rata mempunyai kelayakan akademik yang bagitu baik yang setara dengan kelayakan akademik bagi memasuki IPTA/IPTS lain.

Bagi calon-calon wanita, saya tidak menghadapi masalah memilih calon yang sesuai. Kebanyakkannya telah membuat persediaan serta boleh berkomunikasi dengan baik. Namun bagitu, saya menghadapi masalah dalam memilih calon lelaki. Peratusan yang hadir temuduga sangat menyedihkan iaitu tidak sampai 30 peratus dari keseluruhan dari calon yang hadir bagi setiap sesi temuduga. Nampaknya sindrom kesukaran memilih calon lelaki bagi mengikuti kursus perguruan di Kementerian Pendidikan telah menjangkiti KKM.

Selain itu, yang lebih mendukacitakan saya ialah persediaan calon lelaki itu sendiri. Kebanyakkanya tidak bersedia secara fizikal dan mental bagi menghadapi sesi temuduga. Pakaian yang dipakai tidak sesuai seperti berseluar jeans, berkasut sukan, tidak memakai tali leher, memakai baju lengan panjang tetapi lengan dilipat, berselekeh serta ada yang berseluar londeh seperti penyanyi rap. Selain dari pengetahuan berkaitan dengan kursus yang pohon adalah amat mendukacitakan, pengetahuan am juga amat sedikit.

Justeru saya rasa, adalah tanggungjawab kita semua supaya mewar-warkan kepada generasi muda tidak kira anak sendiri, anak saudara mara atau rakan-rakan agar membuat persediaan rapi semasa menghadiri sesi temuduga tidak kira apa jenis temuduga termasuk temuduga kenaikan pangkat..

Berikut adalah beberapa tips umum yang boleh dikongsi bersama iaitu:
1. Pakaian: Kemas dan bertali leher, kasut kulit, seluar slack.
2. Komunikasi yang baik.
3. Pengetahuan berkaitan dengan kursus atau permohonan. Buat rujukan. Minta maaf jika tidak tahu.
4. Pengetahuan am. Baca isu-isu semasa. Beri komen dengan bahasa yang sesuai.
5. Menjawab dengan keyakinan.

Kelayakkan akademik yang baik masih tidak mencukupi jika attitude serta sikap tidak seperti yang diharapkan untuk anda berjaya dalam setiap temuduga.

sekian, jumpa lagi.

abu aiman

4.26.2008

Kursus Pos Basik Neurofisiologi Klinikal

Assalamualaikum & Salam Sejahtera.

Sepanjang minggu lepas saya agak sibuk. Selepas terpaksa bersengkang mata kerana persediaan menghadapi peperiksaan akhir semester program master saya, Saya berkejar pula ke IMR untuk menjalankan satu bengkel untuk menggubal kurikulum baru Pos Basik Neurofisiologi Klinikal untuk PPP.

Pernah mendengar Neurofisiologi?.Sebenarnya bidang neurofisiologi ini bukanlah baru di negara kita. Perkhidmatanya telah bermula se awal 1960 an lagi. Pada masa sekarang kebanyakkan PPP yang terlatih dibidang ini dihantar berkursus di luar negara seperti di US, UK, Australia, Jepun, Mesir dan lain-lain. Di samping itu, HKL juga telah menjalankan in-house training kursus Neurofisiologi sejak 20 tahun yang lepas. Kursus yang mengambil masa selama 6 bulan ini telah berjaya melatih lebih daripada 70 orang PPP dalam bidang ini bagi memberikan perkhidmatan di hospital-hospital Kerajaan di seluruh negara.

Pada masa sekarang terdapat 19 buah hospital di seluruh negara yang telah mempunyai unit Neurofisiologi yang boleh memberikan perkhidmatan kepada pesakit. Mengikut perancangan, lebih banyak hospital yang akan mempunyai unit ini di masa akan datang. Justeru, keperluan melatih lebih ramai PPP dalam bidang ini amat mendesak.

Bidang Neurofisiologi ini amat unik dan mempunyai nilai sentimental bagi PPP. Ini disebabkan hampir 100 peratus personel yang dilatih dalam bidang ini adalah PPP (MA). Walaupun pernah ada beberapa orang dari kategori lain yang pernah mengikuti kursus ini tetapi performance mereka tidak setanding PPP dan kebanyakkan mereka telah 'quit' dari bidang ini. Justeru, boleh dikatakan bidang ini sekarang telah dikuasai 100 peratus oleh PPP dan sepatutnya ia menjadi salah satu kepakaran yang boleh meningkatkan imej kerjaya PPP.

Mungkin ramai yang berminat untuk menceburi kepakaran ini. Bidang ini memerlukan kepakaran tinggi dalam mengendalikan prosedur utama iaitu:EEG (Electroencephalogram), PSG (Polysomnography), VEP (Visual Evoked Potential), BAEP (Brain Stem Auditory Evoked Potential), SSEP (Somatosensory Evoked Potential), NCS (Nerve Conduction Study), TCD ( Transcranial Doppler) dan lain-lain.

Disebabkan bidang ini memerlukan kepakaran tinggi, maka prospek kerjaya di sektor swasta juga amat luas dan mempunyai demand yang tinggi.

Perubahan serta tuntutan semasa seperti pengiktirafan, elaun, serta peluang untuk melanjutkan pengajian di tahap lebih tinggi memerlukan kursus in-house training yang dijalankan di HKL di naik taraf ke kursus Pos Basik yang akan dikendalikan oleh Bahagian Pengurusan Latihan,KKM.Justeru, Bengkel yang dijalankan di IMR tempohari adalah bertujuan untuk membangunkan kurikulum baru Pos Basik Neurofisiologi kinikal. Alhamdullilah, dengan kerjasama dari semua pihak seperti Lembaga PP, semua PPP Neurofisiologi dari seluruh negara terutamanya chief Neurofisiologi Tn Hj Nurul Asri, bengkel itu telah mencapai objektifnya.InsyaAllah, jika diluluskan oleh Lembaga Pendidikan, KKM kursus ini akan mula dijalankan mulai tahun hadapan.

Jumpa lagi.

abu aiman

4.17.2008

National Primary Health Care Conference 2008 ' 30 years After Alma Ata'

Salam Sejahtera

Pernah mendengar Deklarasi Alma Ata?. Deklarasi Alma Ata yang dikeluarkan di Alma Ata, USSR pada 6-12 september 1978 merupakan pemangkin kepada kemajuan dan pencapaian dalam Kesihatan Awam di seluruh dunia. Deklarasi tersebut telah menekankan betapa pentingnya kolaberasi daripada kerajaan, 'health workers' dan komuniti untuk melindungi dan'promote' kesihatan semua penduduk dunia. Dalam kata lain, menekankan konsep 'Kesihatan untuk Semua'.

Persidangan di Alma ata tersebut telah mengeluarkan 10 deklarasi yang mengandungi perkara berikut: definisi kesihatan, 'inequality' dalam kesihatan, mengurangkan jurang status kesihatan antara negara maju dan negara membangun, hak individu dalam merancang dan pelaksanaan penjagaan kesihatan, peranan kerajaan, penggunaan teknologi, polisi dan pelan tindakan, kerjasama antara kerajaan dan lain-lain lagi.

Malaysia telah banyak mencapai kejayaan dalam konteks Penjagaan Kesihatan Primer sejak 3 dekad lalu selepas 30 tahun deklarasi Alma Ata.

Sejajar dengan itu juga, pada 14 - 16 April lalu, telah di adakan 'National Primary Health Care Conference' di Sunway Convention Centre, Bandar Sunway, PJ. Tema Konferens ialah' 30 years after Alma Ata, Harnessing the Passion and Moving PHC Forward'. Seramai lebih 600 delegasi dalam dan luar negara telah menyertai konferens tersebut. Sebanyak lebih 70 kertas kerja telah dibentangkan dalam simposium, sidang plenari dan forum sepanjang persidangan tersebut.

Beberapa isu menarik yang dibincangkan termasuklah isu 'Equity', 'Universality', 'Solidarity' dan lain- lain lagi.

Tahniah juga kepada Ketua PPP Tn Hj Siri kerana telah membentangka satu kertas kerja bertajuk'The Barefoot Doctor Of Malaysia' dalam satu simposium di konferens tersebut. Beliau telah menerangkan peranan PPP dalam kemajuan kesihatan Awam di Malaysia. Ulasan pengerusi majlis lebih membanggakan di mana PPP adalah di anggap 'heroes' dalam penjagaan kesihatan di negara ini.

Di akhir konferens, telah dikeluarkan deklarasi Kuala Lumpur. Saya memohon maaf kerana tidak dapat menerangkan deklarasi KL tersebut kerana teks rasmi belum dikeluarkan kepada degelasi.

Sebagai PPP saya rasa, anda harus memahami deklarasi Alma Ata sebagai panduan dalam menjalankan tugas-tugas seharian. Anda boleh download teks penuh deklarasi tersebut di alamat ini: http://www.who.int/hpr/NPH/docs/declaration_almaata.pdf

jumpa lagi.

10.11.2007

Selamat Hari Raya Aidil Fitri

Assalamualaikum wbt buat semua warga k19!.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua warga K19.

Semuga berakhirnya Ramadhan kali ini dapat meningkat keimanan kita kepada Allah swt.
Sambutlah Aidil Fitri dengan memperbanyakkan zikir dan tasbih disamping ziarah menziarahi sanak saudara dan kawan-kawan. Jangan menyambut hari kemenangan ini dengan melakukan maksiat dan kemungkaran menyebabkan pahala sebulan kita berpuasa hangus.

Jika ada kelapangan, jemputlah datang ke rumah saya di Seremban beralamat no 73 Lorong Mambau Jaya 4, Fasa II Taman Mambau Jaya, Mambau Seremban.

Saudara2 sekelian.

Selepas sahaja menyambut Hari Raya anda akan menghadapi Peperiksaan Akhir. Bagaimana dengan persediaan?. Saya rasa anda semua sudah bersedia. Ini adalah peperiksaan akhir di fasa teori di mana pada semester depan anda akan posting. Harapan saya agar kali anda akan mendapat keputusan yang cemerlang sebagaimana pada semester I.

Perkembangan terkini di BPL. Sekarang saya sedang mengemaskinikan kurikulum baru. Alhamdulillah, saya telah membentangkan cadangan penambahbaikan kurikulum baru pada mesyuarat Lembaga Pendidikan KKM dan telah diluluskan. Pelaksanaanya ialah mulai Januari 2008. Terdapat perubahan dari segi Jumlah jam kredit iaitu dinaikkan daripada 86 kepada 97 jam kredit. Pada semester 1-3, selepas peperiksaan akhir diwajibkan menjalani penempatan klinikal selama 2 minggu di dalam wad. Ini diharapkan agar pelatih dapat mengaplikasi teori dan praktis bagi memudahkan pembelajaran serta persediaan untuk menjalani latihan yang sebenar di semester 4 nanti. Di samping itu, kurikulum baru ini ditambahkan waktu untuk amali di skill lab.

Saya juga sedang menyaipkan panduan Kokurikulun yang akan dilaksanakan juga mulai Jan 2008. Kokurikulum mengandungi 2 kredit.

Walaubagaimanapun anda tidak perlu risau, kerana pelaksanaanya kurikulum baru ini hanya melibatkan pelatih pengambilan sesi jan 2008 sahaja. Jadi cuti akhir semester anda selama 5 minggu masih selamat!.

Akhir sekali saya kesempatan ini saya ingin memohon ribuan ampun dan maaf kepada anda semua. Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas kiriman kad raya yang cantik. Maaf tidak sempat nak balas. Kepada yang sms saya saya juga ucapkan rimbuan terima kasih.

Hati2 dijalan raya.

wassalam

abu aiman
BPL

7.10.2007

Selamat kembali ke Sem 3

Assalamualaikum dan salam sejahtera!!

Selamat kembali ke semester 3 buat semua warga K19. Keputusan Sem 2 telah diketahui. Tahniah saya ucapkan kepada yang telah berjaya mengekalkan kecemerlangan. Buat mereka yang me ndapat sedikit kemerosotan, perlu bermusahabah. Untuk mencipta kejayaan bukanlah sesuatu yang terlalu susah, tatapi, mengekalkan kejayaan merupakan sesuatu yang sukar. Inilah yang berlaku kepada K19. Selepas mencipta keputusan yang cemerlang pada semester 1, mungkin ada diantara kalian yang mulai lalai.

Oleh sebab itu, kemerosoatan peperiksaan pada semester ini haruslah dilihat dari aspek yang positif. Anggapkan ini merupakan satu peringatan, bahawa kelalaian anda boleh membawa padah. Justeru, perjuangan masih panjang. Susun semula strategi belajar. Bermula dari awal semester, buat revision topik-topik utama serta hidupkan semula group discussion. InsyaAllah anda akan mendapat kejayaan cemerlang di semester akan datang.

Oh Ya saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada chief Zul dan geng-geng yang membantu menggangkat barang-barang saya pada 7/7/07 yang lalu.

Akhir sekali saya berharap, blog ini akan terus menjadi penghubung silatulrahim antara warga k 19. InsyaAllah saya akan terus menulis di blog ini jika ada kesempatan. Jika anda ingin membaca dan menghantar comment cuma klik ' links to the post' di bawah setiap artikel.

Jumpa lagi.

abu aiman
BPL KL

4.05.2007

Perkembangan Terbaru

Assalamualaikum wbt.

Bertemu kembali warga k19. Muga adik-adik sekelian sentiasa dibawah perlindungan Allah swt. Peperiksaan Akhir T1S2 semakin hampir. Saya pasti kalian sekelian sedang bertungkus lumus belajar siang-malam untuk memastikan peperiksaan T1S2 'maintain'. Saya juga yakin kalian sekelian masih mengekalkan tahap displin yang tinggi. Anadokter 'zero'. Pastikan kuku dan taring tidak tumbuh. Kalau nak tumbuh juga pastikan 'taring' untuk belajar yang tumbuh panjang. Jangan taring yang lain-lain. Anyway rasa rasa kalian tidak ada masalah terutamanya di bawa penyalarasan cikgu Ahmad. Berilah kerjasama sepenuhnya kepada cikgu Ahmad. Berkaitan dengan pengurusan BLOG ini juga saya dah serahkan kepada cikgu Ahmad untuk update maklumat terkini. Saya mungkin 'sekali-sekala' sahaja akan menyumbang kepada blog ini.

Sejak akhir-akhir ini kerjaya pembantu perubatan telah mengalami perkembangan yang memberangsangkan. Bermula dengan kelulusan SKIM BERSEPADU yang effektif pada tahun 2007. Ini bermakna anda sekelian telah memasuki skim diploma dan berijazah (u41 - u54). Pada 21 mac hingga 6 april lalu saya telah menjalankan kursus intensif pembantu perubatan u 38 dan u 40 yang akan diserapkan ke u41 di Pulau pinang. Seramai 34 orang pembantu perubatan telah mengikuti kursus tersebut. Pada 5 april ini saya akan membentangkan keputusan kursus tersebut kepada jawatankuasa untuk kelulusan. Ini bermakna 6 april telah ada Pembantu perubatan menjawat jawatan u 41!. Untuk makluman, ramai diantara mereka akan bersara pada hujung tahun ini. Ini bermakna akan terdapat kekonsongan u41 akan apad atahun hadapan. Selain itu saya dimaklumkan, banyak lagi pos u41 akan diminta pada tahun hadapan.\

Isunya sekarang ialah berapa ramai MA yang ada ijazah untuk mengisi kekosongan tersebut. Ini adalah satu cabaran kepada anda semua.

Pada 2 april - 15 april saya juga terlibat dalam kursus untuk 92 orang pengajar baru u41 di port dickson. Malangnya hanya ada 4 orang MA yang berjaya menghadiri kursus itu. Ramai MA yang ada ijazah tetapi ijazah yang diambil tidak berkaitan. Ada ijazah yang berkaitan tetapi pointer CGPA rendah(bawah 3.00).

Lagi berita baik untuk MA ialah gelaran baru untuk MA ialah PENOLONG PEGAWAI PRUBATAN (PPP). Surat kelulusan telah dikeluarkan pada bulan mac lalu. Anda sekarang bukan lagi bergelar Pembantu Perubatan. Namun bagitu pertukaran nama hanya melibatkan gelaran perjawatan. Skim masih lagi pembantu perubatan. Kursus masih lagi diploma pembantu perubatan. Pertukaran skim dan kursus akan dibuat kemudian kerana ia melibatkan akta pembantu perubatan.

Perkembangan terkini ini memerlukan satu lonjakan paradigma dari anda semua. Peluang-peluang yang ujud (skim ijazah)ini hanya diisi oleh mereka yang layak sahaja. Anda semua memang layak cuma memerlukan usaha yang sungguh-sungguh agar dapat mengekalkan pointer yang tinggi. Dengan CGPA yang tinggi anda boleh melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah di mana-mana universiti.

Ubah sikap, imej dan penampilan. Biarlah sikap dan penampilan anda menggambarkan anda memang patut dan layak digelar penolong pegawai perubatan kelak. Insyaallah.

Sekian, muga kalian sekelian berjaya final exam di T1S2.

wassalam
abu aiman
BPL, KL

2.21.2007

Assalamualaikum w.b.t.

kepada semua pelatih-pelatih Kumpulan 19, terima kasih atas kerjasama dan sokongan tuan-tuan membantu saya menyelaraskan kumpulan tuan-tuan. Peperiksaan-Ujian formatif 1 telah tamat, formatif 2 akan menyusul pada minggu 09 / ditatik 8/16 harap tuan-tuan dapat meningkatkan PNGK kepada tahap yang lebih hebat lagi !!!!.

Ingat pesan Saya, kerja berpasukan, kasih sayang kita dalam bahtera yang sama dengan objektif dan matlamat yang satu mesti ikut arah yang satu jangan ada yang berpaling arah. tingkatkan ukhwah semasa kita, sembahyang berjemaah belajar dalam kumpulan pasti akan mencapai kejayaan yang gemilang, insyaallah saudara-saudara sekelian.

Jika kelapangan cikgu akan paparkan markah formatif 1 pada masa akan datang jumpa lagi
wassalam.

2.18.2007

Perjuangan harus diteruskan...

Assalamualaikum dan salam sejahtera!

Buat seluruh warga K19.
Setiap pangkal ada penghujung. Setiap permulaan, ada penamatnya. Itulah di katakan sunnah kehidupan. Namun bagitu, penghujung seorang manusia adalah di saat menghadapi sakratul maut. Penghujung bagi sebuah pertemuan pula bukanlah penamat yang muktamat. Perpisahan bagi seseorang manusia merupakan sebuah perpisahan yang sementara. Justeru itu adalah diharapkan perpisahan saya dengan anda sekelian merupakan perpisahan yang sementara. Selagi nyawa dikandung badan, InsyaAllah kita akan bertemu jua.

Sepanjang saya diberi amanah menyelaras kalian merupakan satu detik yang cukup bermakna buat saya. Bagi saya kalian merupakan anak-anak yang cukup baik dan tidak mendatangkan banyak masalah. Kalian telah dilahirkan dari perut ibu yang cukup bertuah. Benih yang baik telah menatijahkan pokok yang baik. Kalian telah membuktikan bahawa kalian adalah kumpulan yang terbaik antara yang terbaik.

Namun bagitu, sedangkan lidah lagikan tergigit. Inikan pula sebagai manusia biasa. Saya rasa sepanjang saya menyelaras kalian, mungkin banyak teguran, leteran serta ugutan yang mungkin menyebabkan kalian tersinggung serta berasa marah. Saya mohon banyak-banyak kemaafan dari kalian. Niat saya cuma satu, supaya kalian berjaya dan menjadi pelajar cemerlang dan terbilang dunia dan akhirat.

Saya sentiasa mendoakan agar kalian meneruskan perjuangan yang belum selesai ini dengan seribu tekad agar sentiasa menjadi yang terbaik antara yang terbaik.

Semuga kita berjumpa lagi...

wassalam
abu aiman
K.L