11.27.2009

Salam Edul Adha

Hari ini 10 Zulhijjah 1430H, umat Islam diseluruh dunia merayakan Hari Raya Qurban. Perayaan hari raya ini adalah sempena kisah Nabi Allah Ibrahim as dan putranya Nabi Ismail as seperti yang telah diceritakan dalam Al-Quran.

Umat Islam perlu memahami bahawa setiap peristiwa dan kisah-kisah yang dipaparkan di dalam Al-Quran adalah sesuatu yang mesti diambil pengajaran darinya.

Firman Allah swt:

“Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buatkan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman”

Begitulah kisah pengorbanan yang ditunjukkan oleh nabi Ibrahim as terhadap perintah Allah swt. yang menciptakan dirinya. Semoga momentum kisah korban nabi Ibrahim as dan nabi Ismail as itu akan dapat memotivasikan kita sebagai umat Islam agar terus berusaha untuk menjadi umat yang terbaik serta tunduk kepada perintah Allah swt. Satu persoalan yang perlu dilontarkan kepada diri kita sebagai masih gagal untuk menghayati erti “pengorbanan” yang mereka raikan setiap tahun apabila tibanya ‘Eid Adha.

Bagi muslim yang memiliki jiwa “berkorban” mereka akan senantiasa terpanggil untuk melaksanakan ketaatan kepada seluruh perintah Allah swt samada ianya berbentuk perintah mahupun larangan Allah swt didalam usaha mereka untuk mendapatkan keredhaanNya
walaupun mungkin mereka terpaksa mengorbankan segala-galanya baik harta mahupun nyawanya untuk Islam. Dia akan memahami bahawa kewujudan mereka di dunia ini adalah semata-mata untuk mengabdikan diri mereka sepenuhnya kepada perintah Allah swt.:

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku.”
Az-Zariyat:56

Bagi umat Islam kisah pengorbanan yang dilakukan oleh nabi Ibrahim as ketika peristiwa menyembelih anaknya nabi Ismail as adalah suatu bentuk ketundukan dan lambang ketaatan yang cukup tinggi dalam menjunjung titah perintah Allah swt di mana peristiwa ini mereka kaitkan dengan ibadah haji dan ibadah korban yang disambut setiap tahun. Ketaatan yang ditunjukkan oleh nabi Ibrahim as terhadap perintah Allah swt ini telah dirakam oleh Allah swt di dalam Al-Quran yang sampai ke hari ini dibaca oleh seluruh umat Islam.

Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Adha kepada seluruh umat Islam.

abu aiman
10 Zulhijjah 1430H