10.29.2012

SERANTA AWAM ATAS TALIAN BAGI CADANGAN PENGGUBALAN RANG UNDANG-UNDANG PENOLONG PENGAMAL PERUBATAN



SERANTA AWAM ATAS TALIAN BAGI CADANGAN PENGGUBALAN RANG
UNDANG-UNDANG PENOLONG PENGAMAL PERUBATAN


YBhg. Tan Sri/Puan Sri/Dato’/Datin/Tuan/Puan,

Selamat Sejahtera dan Salam 1 Malaysia,

Sukacita dimaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia sedang menggubal Rang Undang-Undang Penolong Pengamal Perubatan yang baru bagi mengawal selia amalan penolong pengamal perubatan. Ini berikutan Akta Pembantu Perubatan (Pendaftaran) 1977, [Akta 180] yang telah berkuatkuasa hampir 35 tahun didapati tidak lagi menepati keperluan semasa.

Skop Akta 180, adalah terhad kepada penubuhan Lembaga Pembantu Perubatan (Pendaftaran), pendaftaran dan pembaharuan pendaftaran penolong pegawai perubatan sahaja. Tidak terdapat peruntukan mengenai:

(a)    Komposisi, fungsi dan kuasa Lembaga yang tidak disenaraikan dengan terperinci;
(b)    Penubuhan jawatankuasa tertentu bagi membantu Lembaga melaksanakan fungsi dan kuasanya;
(c)    Penubuhan jawatankuasa khusus untuk memastikan taraf latihan penolong pegawai perubatan sentiasa berada ditahap yang tinggi;
(d)    Pendaftaran penolong pegawai perubatan yang mempunyai latihan lanjutan dalam bidang pengkhususan;
(e)    Bidangkuasa tatatertib; dan
(f)    Penguatkuasaan

Justeru itu, Akta 180 perlu dibuat penambahbaikan bagi memperkukuhkan undang-undang sedia ada selaras dengan perkembangan dan keperluan semasa. Penambahbaikan ini adalah penting bagi memastikan amalan yang diberikan oleh penolong pengamal perubatan adalah berkualiti dan kompeten demi memelihara keselamatan orang awam.

Satu borang tinjauan akan  disiarkan secara atas talian di laman web Kementerian Kesihatan Malaysia diwww.moh.gov.my selama 14 hari bermula bermula pada 29 Oktober 2012 sehingga 11 November 2012. Sehubungan itu Kementerian Kesihatan mengalu-alukan sebarang cadangan dan komen yang boleh disalurkan melalui ppp.bap@moh.gov.my sebelum/pada 11 November 2012.

Kerjasama dalam memberikan pendapat mengenai perkara di atas adalah amat dihargai.

Sekian, terima kasih.



PENGARAH
BAHAGIAN AMALAN PERUBATAN
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA


Maklumat lanjut sila akses di:
http://eservices.moh.gov.my/mohsurvey/index.php?sid=68828&lang=en

10.04.2012

MAJLIS KONVOKESYEN INSTITUSI LATIHAN KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA (ILKKM) 2012


MAJLIS KONVOKESYEN INSTITUSI LATIHAN
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA (ILKKM) 2012


Majlis Konvokesyen Institusi Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) 2012, yang dikelolakan oleh Bahagian Pengurusan Latihan (BPL), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan diadakan selama 4 ( empat) hari bermula 13 hingga 16 Oktober 2012, bertempat di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu (KSKB), Sultan Azlan Shah, Ulu Kinta Perak.

Seramai 9361 graduan dari 26 Institusi Latihan KKM seluruh negara yang telah berjaya menamatkan pengajian pra-perkhidmatan di peringkat diploma dan sijil yang merangkumi 13 disiplin dalam bidang kesihatan dan Latihan dalam perkhidmatan bagi 33 kursus lanjutan/pos-basik turut akan menerima diploma lanjutan serta sijil pos-basik masing-masing pada majlis ini.

Majlis graduasi dan perasmian konvokesyen  akan disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Liow Tiong Lai, Menteri Kesihatan Malaysia, pada 13 Oktober 2012, bermula jam 9.00 pagi. Sempena majlis ini juga, buat julung kalinya Bahagian Pengurusan Latihan KKM akan melancarkan “Coffee Book Table yang memuatkan sejarah 50 tahun perjalanan Institusi Latihan KKM  di negara ini.

Sementara itu, Pesta Konvokesyen turut akan diadakan sehari lebih awal iaitu pada 12 sehingga 16 Oktober 2012, dengan pelbagai aktiviti antaranya Forum Perdana Ehwal Islam, Gerai-Gerai Jualan, Gerai Pameran, Pemeriksaan Kesihatan, Kuiz Kesihatan dan lain-lain di perkarangan KSKB Sultan Azlan Shah. Orang ramai adalah di jemput hadir bagi memeriahkan majlis ini pada tarikh berkenaan.

Setiausaha Bahagian
Bahagian Pengurusan Latihan
Kementerian Kesihatan Malaysia

3 Oktober 2012