1.10.2010

Klinik 1Malaysia: Doktor Swasta Tidak Perlu Bimbang


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, doktor swasta tidak perlu bimbang bahawa pendapatan mereka akan terjejas dengan kewujudan klinik 1Malaysia.
Beliau berkata, ini kerana 50 klinik 1Malaysia yang diwujudkan di seluruh negara hanya akan menumpukan kepada pemeriksaan kesihatan yang biasa seperti memeriksa tekanan darah dan kandungan gula.

"Sebenarnya mereka tidak terjejas sebab kes-kes daripada sini akan kita rujuk kepada mereka. Umpamanya jika pesakit ada hubungan dengan manamana doktor swasta, kita akan rujuk kepada mereka.

"Tetapi ini memudahkan rakyat membuat pemeriksaan biasa seperti paras gula dalam darah, periksa tekanan darah kalau mereka hipertensi. Untuk pemeriksaan lebih lanjut, mereka akan pergi ke klinik swasta atau hospital kerajaan.

"Jadi saya tak anggap ini sebagai 'winlose situation' tetapi sebenarnya ia adalah 'winwin situation', rakyat mudah, dan klinik swasta pun akan dapat pelanggan seperti biasa," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Klinik 1Malaysia Kerinchi di Lembah Pantai di sini.
Najib berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai kebimbangan yang disuarakan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berhubung kewujudan klinik 1Malaysia yang dianggap boleh menjejaskan pendapatan mereka.

Beliau berkata, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai akan mengadakan sesi dialog dengan anggota MMA mengenai perkara berkenaan.
Perdana Menteri menegaskan bahawa klinik 1Malaysia, yang setakat ini 44 daripadanya sudah beroperasi di seluruh negara, diwujudkan untuk kepentingan rakyat.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, menganggap pencapaian Kementerian Kesihatan mewujudkan 44 klinik dalam masa dua bulan sebagai satu rekod dalam Bajet 2010 kerana sasaran untuk membuka 50 buah klinik 1Malaysia hampir dicapai dalam masa begitu singkat.
Mengenai cadangan untuk menambah bilangan Klinik 1Malaysia, beliau berkata, pihaknya akan membuat penilaian berdasarkan sambutan dan kesan yang diperoleh melalui pendekatan perkhidmatan kesihatan menerusi klinik berkenaan.

"Kita akan buat penilaian, jika mendapat sambutan hangat dan kesan yang begitu baik, saya tidak menolak kemungkinan boleh ditambah lagi. Tapi biarlah kita buat penilaian dulu sebab 50 buah klinik inipun bilangannya begitu besar. Kita juga perlu tentukan keberkesanan klinik dan pendekatan baru, daripada situ kita akan buat ketetapan," katanya.
Najib berkata, kebanyakan Klinik 1Malaysia terletak di kawasan bandar memandangkan di luar bandar terdapat 2,000 Klinik Desa sejak merdeka.

"Untuk 50 klinik, kita peruntukkan RM10 juta, tapi RM10 juta ini bukan untuk bangunan, ini adalah untuk kita buat peralatan dalaman sahaja dan untuk ubat-ubatan," katanya.
Terdahulu semasa berucap, Najib berkata, Klinik 1Malaysia amat menepati konsep 1Malaysia kerana ia benar-benar terbuka kepada semua kaum di negara ini terutama golongan berpendapatan rendah.

Beliau berkata, konsep Klinik 1Malaysia yang diperkenal dan dilaksanakan kerajaan bertujuan memastikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti di negara ini boleh dinikmati secara adil, saksama dan menyeluruh oleh semua rakyat, sejajar hasrat kerajaan.

"Dan akses untuk perkhidmatan kesihatan sedemikian mestilah pada kos yang paling minimum iaitu RM1, iaitu yang termurah di dunia atau boleh disifatkan sebagai hampir percuma.
"Selain itu, pesakit tidak perlu tunggu lama kerana Klinik 1Malaysia akan memberikan layanan pantas. Dalam keadaan ini, Kementerian Kesihatan mendapat untung kerana boleh mengurangkan kesesakan di hospital kerajaan bagi mereka yang ingin mendapatkan rawatan asas," katanya.

Perdana Menteri berkata, Klinik 1Malaysia akan beroperasi setiap hari, tujuh hari seminggu dan masa perkhidmatan adalah dari pukul 10 pagi hinggga 10 malam dengan dikendalikan oleh kumpulan paramedik yang terdiri daripada Penolong Pegawai Perubatan dan Jururawat Terlatih. - BERNAMA

Ulasan:

Pelaksanaan klinik 1Malaysia ini merupakan satu peluang untuk PPP menunjukkan perkhidmatan yang cemerlang serta membuktikan kepada masyarakat bahawa PPP mampu memikul tanggungjawab ini dengan erkesan. Sebenarnya peranan ini bulanlah asing dan baru bagi PPP. Peranan ini sedang dan telah djalankan oleh PPP semenjak dahulu lagi tetapi selama ini masyarakat secara keseluruhanya tidak mengambil berat atau kisah terhadap apa yang telah dilakukan oleh PPP. Apa yang menjadi perhatian dan di highlighted oleh masyarakat terutamanya pihak media ialah berita negatif berkaitan dengan PPP sahaja.

Namun melalui Klinik 1Malaysia ini, peranan PPP telah menjadi fokus sehingga pihak MMA sendiri mempertikaikanya. Seluruh negara akan memerhatikan apa yang berlaku kepada klinik ini. Jika ia mendapat sambutan melalui perkhidmatan yang cemerlang, ia akan memberi kredit kepada profesion PPP.

Justeru, kepada semua PPP yang terlibat dengan klinik 1Malaysia ini, anda menggalas tanggungjawab yang berat serta membawa jenama PPP ke seluruh negara. Lakukan yang terbaik, dan saya yakin, anda memang mampu memikul tanggungjawab ini dengan cemerlang kerana PPP memang boleh!.

abu aiman

1.01.2010

SELAMAT TAHUN BARU 2010

Tahun 2009 telah melabuhkan tirainya. 2009 telah menjadi sejarah buat kita. Seperti biasa, kedatangan tahun baru akan diiringi dengan azam baru. Tentu ramai telah menetapkan pelbagai azam pada tahun 2010 untuk dicapai atau sekurang2nya memperbaharui azam lama yang tidak kesampaian.

Menoleh kembali pencapaian tahun 2009

Kebisaannya apabila disebut azam, ia akan merujuk kepada pencapaian ke arah kebaikan dan peningkatan dalam pelbagai aspek keperluan kehidupan. Kita lupakan azam mat-mat rempit yang mungkin berazam meningkatkan kemahiran merempit, atau perompak/pencuri yang berazam meningkatkan skill merompak atau meningkatkan hasil rompakan. Kita melihat pencapaian yang baik dan positif sahaja. Adakah tahun 2009 yang telah berlalu berjaya meningkatkan pencapaian kita dalam pelbagai aspek kehidupan kita?.

Dalam aspek kerjaya, berjayakah kita menjadi pekerja cemerlang tahun 2009. Tidak semestinya mendapat APC sahaja, sudah dianggap cemerlang tetapi lebih penting lagi tetapi mutu perkhidmatan yang telah kita berikan mendapat pengiktirafan daripada ketua jabatan, rakan sekerja atau pelanggan sendiri. Itu lebih utama dan dianggap sebagai kejayaan.

Mungkin ramai yang berazam di tahun lalu untuk meningkatkan tahap pendidikan seperti mengambil ijazah atau ijazah lanjutan. Adakah azam tersebut tercapai. Jika tercapai alhamdulillah, tetapi jika tidak kita harus membuat penilaian strategi semula. Kejayaan atau kegagalan kita ditahun 2009 harus nilai semula. Kenal pasti punca kegagalan, faktor-faktor halangan, faktor-faktor kekuatan dan kelemahan kita, faktor-faktor luaran dan dalaman yang mempengaruhinya.

Bergerak ke hadapan di tahun 2010

Kejayaan tidak akan diperolehi dengan mudah. Ia memerlukan usaha, kegigihan, pengorbanan serta perancangan yang strategik. Justeru, menetapkan azam harus disusuli dengan perancangan yang teliti agar ia akan dapat dicapai.

Sebagai contoh, jika ditahun 2010 ini kita ingin menyambung pelajaran keperingkat ijazah, maka kita haruslah menyusun strategi bagaimana untuk mencapainya. Lihat kekuatan, kelemahan, peluang dan halangan yang akan dihadapi jika kita ingin meneruskan pengajian. Ramai yang tidak tahu bgaimana untuk bermula seperti bidang apa, universiti mana, mod pengajian, sumber kewangan, masa, kekangan pekerjaan dan sebagainya. Jika faktor-faktor ini sudah di kaji dan dirancang dengan teliti, ia akan memudahkan kita bertindak dan bergerak serta mengenalpasti cara untuk mencapainya. Cara terbaik ialah dengan bertanya kepada rakan-rakan yang telah berjaya serta bandingkan dengan kemampuan kita. Tapi saya percaya kita semua mempunyai kemampuan dan peluang yang sama untuk berjaya.

Marilah kita sama-sama berdoa agar tahun 2010 akan membawa kejayaan buat diri kita, keluarga serta profesion yang kita ceburi. Marilah kita bergerak ke hadapan!

Niat(Azam)--usaha(strategic planning) ---doa ---Tawakkal ---Kejayaan

selamat menyambut tahun 2010

abu aiman
1 Jan 2010